Krisis kepemimpinan PKR Sabah: Semakin ramai desak Christina berundur

Krisis kepemimpinan PKR Sabah: Semakin ramai desak Christina berundur

Kota Kinabalu: Krisis kepemimpinan PKR Sabah bertambah panas apabila semakin ramai pemimpin bawahan parti itu menyuarakan gesaan supaya Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Christina Liew mengundurkan diri.

Turut menyuarakan gesaan sama ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sipitang, Presley Kurus yang mengakui krisis PKR Sabah semakin meruncing berikutan kegagalan Christina dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Dakwanya, selain kegagalan isu kerusi pilihan raya, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga gagal membantu jentera Cabang, AMK, Wanita dan Srikandi PKR di negeri ini.

Malah, katanya Christina tidak pernah turun ke Cabang Sipitang untuk sebarang program sebagai Pengerusi MPN Sabah dan ia amat mengecewakan seluruh jentera PKR cabang berkenaan.

“Saya yakin beberapa pimpinan sudah menulis sendiri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak kurang juga yang menulis kenyataan media memandangkan masih belum ada penyelesaian daripada Presiden.

“Sehubungan itu, kami menggesa Datuk Seri Anwar untuk segera bertindak sebelum krisis menjadi semakin teruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata PKR Sabah perlu berani dan gagah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tetapi ia pasti sukar selagi berada di bawah pimpinan Christina.

“Saya juga yakin Datuk Seri Anwar maklum memgenai 17 Akuan Bersumpah (SD) yang ditandatangani Ketua-Ketua Cabang di Sabah untuk menolak kepimpinan Christina kecuali lima Cabang yang memilih untuk berkecuali dan empat Cabang yang masih menyokong beliau.

“Dengan dua pertiga sokongan untuk menggugurkan Christina saya yakin Datuk Seri Anwar akan mendengar suara akar umbi sebagai pemimpin sebuah parti yang paling demokratik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua AMK Sabah, Mohd Raffi Jamaluddin, menyifatkan Christina tidak memenuhi semangat dan prinsip yang ditonjolkan oleh Presiden PKR.

Jelasnya, parti yang sudah lama bertapak dan berjuang sebagai pembangkang di Sabah itu tidak sepatutnya didominasi oleh rakan parti yang baharu muncul seperti berlaku ketika ini.

Beliau yang juga Ketua AMK Keningau berkata, Christina dilihat tidak serius untuk mengemudi PKR Sabah memandangkan kebanyakan cabang, khususnya AMK terabai bagai anak kehilangan tempat berteduh.

“PKR Sabah memerlukan Pengerusi MPN yang agresif dan aktif turun ke Cabang-Cabang bagi memperkukuhkan PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sebagai Naib AMK, saya melihat tanggungjawab Pengerusi MPN Sabah sekarang telah tersasar daripada landasan arus perjuangan Parti Keadilan. Kebajikan dan suara ahli tidak dhirau dan dibuat seolah-olah seperti yatim piatu.

“Harapan kami sebagai anak muda yang menyokong arus perjuangan parti, perkara ini harus diteliti lebih telus. Presiden PKR perlu melihat perkara ini demi memperhebatkan PKR Sabah bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|