Tiga termasuk pasangan kekasih edar dadah ditahan

Tiga termasuk pasangan kekasih edar dadah ditahan

Sipitang: Tiga individu termasuk sepasang kekasih ditahan dalam serbuan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang di sebuah hotel di pekan daerah ini, semalam.

Operasi yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu turut berjaya merampas dadah jenis syabu yang dipercayai cuba diedarkan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, sebaik serbuan dijalankan, pasukan operasi berjaya menahan tiga individu tempatan di dalam sebuah bilik bersama dadah jenis syabu.

“Ketiga-tiga tangkapan ini kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sipitang untuk ujian saringan air kencing dan siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine manakala tahanan wanita pula disahkan negatif,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Katanya, siasatan awal mendapati pasangan kekasih yang ditahan adalah seorang duda dan janda.

“Soal siasat lanjut yang dijalankan terhadap tangkapan ini turut mendedahkan nama pembekal dadah berkenaan di daerah Sipitang.

“Pihak polis sedang mengumpul maklumat dan risikan percakapan untuk tindakan selanjutnya mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman 5 tahun di Pusat Pemulihan di Penjara Simpang Rengam Johor,” katanya.

Sehubungan itu, Champin berkata, pihak polis akan meneruskan operasi Op Sarang ini di kawasan Daerah Sipitang untuk mengesan pembekal dan penagih dadah syabu.

Katanya, ia bagi menyelamatkan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini daripada terus hanyut dan menghancurkan keluarga dalam kehidupan masyarakat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|