Beaufort: Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan industri perkilangan di daerah ini dalam pemeriksaan Op Patuh yang dijalankan, semalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, operasi berkenaan dijalankan bersama beberapa lagi agensi kerajaan lain dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19.
Katanya, pemeriksaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua syarikat yang beroperasi menuruti SOP ditetapkan.
“Setakat ini, kita mendapati syarikat seperti Fajar Timber Sdn Bhd, LKL Brick Sdn Bhd dan Kotamix Sdn Bhd mematuhi SOP dan tiada kompaun dikeluarkan.
“Antaranya pematuhan SOP yang dijalankan termasuk jumlah pekerja yang hanya membabitkan 80 peratus dibenarkan, mengimbas QR MySejahtera dan penggunaan pelitup muka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yusoff Zaki berkata, pematuhan SOP itu amat penting sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
“Selain itu, semua pegawai yang terbabit dalam penugasan ini juga menyampaikan arahan dan tanggungjawab kepada semua pengurus dan pegawai penyelia syarikat supaya memahami dan menuruti SOP ditetapkan.
Yusoff Zaki berkata, operasi pemantauan dan pemeriksaan akan terus dijalankan bagi memastikan kilang-kilang di daerah ini tidak melanggar SOP.
– Deasoka