Labuan: Dua sahabat berusia 18 tahun ditahan polis selepas memecah masuk rumah milik seorang warga emas di Kampung Sungai Lada, di sini, semalam.
Kejadian jam 2 petang itu, kedua-dua remaja terbabit dikatakan sempat mencuri sebuah iPad milik bekas kapten kapal berusia 78 tahun yang tinggal di rumah berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian pecah masuk rumah berkenaan sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sebelum pemilik rumah membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 5.30 petang.
Katanya, mangsa turut mendakwa iPad miliknya yang diletakkan di atas meja dapur hilang dan menyerahkan rakaman CCTV untuk tindakan selanjutnya.
“Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi, polis mendapati seorang lelaki tidak dikenali masuk ke bahagian pintu belakang rumah yang tidak berkunci.
“Bertindak atas laporan dan maklumat, polis berjaya menahan suspek pertama yang sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Labuan pada jam 1.20 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ahmad berkata, penahanan suspek pertama itu kemudiannya membawa kepada penahanan suspek kedua di sebuah rumah di Taman Mutiara, di sini.
Katanya, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis berjaya merampas semula iPad yang dilaporkan hilang.
“Semakan kesalahan lampau mendapati, suspek kedua pernah ditangkap atas kesalahan menagih dadah.
“Kedua-duanya suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.
– Deasoka