Tiga premis judi dalam talian digempur polis 

Tiga premis judi dalam talian digempur polis

 

Kota Belud: Tiga premis yang dipercayai dijadikan pusat perjudian dalam talian diserbu dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, hari ini.

Premis perjudian yang diserbu itu terletak di Kampung Sembirai manakala dua lagi premis di Kampung Taun Gusi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, ketiga-tiga premis berkenaan sudah pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Katanya, walaupun ada tangkapan yang dilakukan namun ia dilihat masih berdegil dan terus menjalankan operasi mereka.

“Serbuan hari ini dijalankan dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang disyaki dijadikan pusat perjudian dalam talian.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk melumpuhkan kegiatan perjudian itu daripada terus berleluasa,” katanya ketika ditemui hari ini.

SESB memotong bekalan elektrik terhadap premis disyaki dijadikan pusat perjudian dalam talian.

Sahimi berkata, tindakan memotong bekalan elektrik dengan kerjasama SESB itu akan terus dilakukan untuk membasmi perjudian tanpa lesen yang sah di daerah Kota Belud. –

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|