Tiga pemburu haram ditahan, rampas bakakuk, syabu

Tiga pemburu haram ditahan, rampas bakakuk, syabu

Keningau: Tiga lelaki yang dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram di kawasan Hutan Simpan Sepulut, di sini, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK), semalam.

Dalam operasi jam 1 pagi itu, turut dirampas satu laras senjata api buatan sendiri jenis ‘Bakakuk’ dan tiga paket plastik berisi dadah jenis syabu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi bersepadu khazanah itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Katanya, semasa rondaan dijalankan di Batu 63, Hutan Simpan Sepulut, pasukan operasi terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa barang salah termasuk senjata api buatan sendiri, peluru dan dadah jenis syabu.

“Ketiga-tiga suspek berusia 19 hingga 25 tahun kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua barang yang dirampas termasuk kereta, motosikal dan senjata api dianggarkan bernilai keseluruhan RM56,165.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes juga akan diserahkan kepada pegawai penyiasat IPD Keningau dan IPD Kinabatangan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|