Empat ceroboh TTS Pulau Sibuan ditahan

Empat ceroboh TTS Pulau Sibuan ditahan

Semporna: Empat lelaki warga asing yang menaiki tiga bot pam dikesan menceroboh masuk perairan Taman Taman Sabah Pulau Sibuan, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 2 pagi itu, keempat-empat lelaki turut dikesan menangkap ikan menggunakan kaedah panah ikan, sabit dan rawai yang tidak dibenarkan.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan hasil kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah dan Taman Taman Sabah (TTS).

Katanya, ketika rondaan dijalankan di kawasan berkenaan, pasukan operasi mengesan tiga bot pam dinaiki keempat-empat suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat beberapa spesis ikan, gamat dan ketam yang dipercayai ditangkap di perairan pulau berkenaan.

“Semua keempat-empat suspek kemudiannya dibawa balik ke Stesen Pulau Bohey Dulang, di sini, untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 28 hingga 38 tahun dan berasal dari negara jiran Filipina.

Katanya, semua rampasan termasuk bot pam dan hasil laut juga dianggarkan bernilai RM10,540 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 48 (1) (c), dan (d) Enakmen Taman 1984 Pindaan 2007,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|