Kabinet baharu perlu kurangkan kerenah birokrasi untuk bantu rakyat

Kabinet baharu perlu kurangkan kerenah birokrasi untuk bantu rakyat

Kota Kinabalu: Kabinet baharu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dibentuk dalam masa terdekat perlu menekankan strategi mengurangkan kerenah birokrasi dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata proses birokrasi yang panjang hanya menyusahkan rakyat yang memerlukan bantuan dengan segera.

“Ini adalah satu keadaan yang tidak pernah berlaku dan disebabkan itu juga, tindakan dan mekanisme yang dirancang mestilah berbeza daripada cara yang normal.

‘’Dengan ini proses menyampaikan bantuan kepada golongan sasar yang memerlukan akan lebih tersusun.

“Jadi penting untuk merancang dan mencari jalan mempermudahkan bantuan dan pinjaman yang boleh mengembalikan rakyat yang terjejas,’’ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Azizah juga menggesa semua Ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang untuk berlapang dada dan menyokong segala dasar kerajaan.

Ini kerana katanya, kerjasama rentas parti adalah elemen penting dalam usaha membantu kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

‘’Saya rasa kita (Ahli Parlimen) perlu menjadi lebih matang kerana setakat ini kalau bercakap soal kerjasama bipartisan masih belum tercapai di negara ini.

‘’Ini kerana bila Ahli Parlimen bercakap, mereka tidak berbincang bagaimana kita boleh bersama-sama memastikan segala usaha kerajaan ke arah membela nasib rakyat dijayakan sekali gus memulihkan ekonomi,’’ katanya.

Semalam Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera, selamat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|