PPM rampas rokok tidak bercukai RM36,594

PPM rampas rokok tidak bercukai RM36,594

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya mematahkan aktiviti cubaan penyeludupan rokok seludup di kawasan tembok Pasar Sinsuran, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, operasi serbuan dijalankan hasil intipan terhadap dua orang individu yang dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebaik menghampiri kedua-dua individu terbabit, suspek bertindak melarikan diri dengan melompat ke dalam bot sebelum memecut laju ke arah laut.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di kawasan berkenaan, pasukan polis menemui longgokan plastik hitam diletakkan di tepi tembok pasar berkenaan.

“Bungkusan yang ditinggalkan itu mengandungi pelbagai jenis rokok tidak bercukai. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,590.40 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Roslan berkata, semua rokok seludup berkenaan kemudiannya dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, Roslan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah Empat Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|