Covid-19 Sabah: 2,651 kes baharu, 66 peratus adalah kes tertunggak

Covid-19 Sabah: 2,651 kes baharu, 66 peratus adalah kes tertunggak

Kota Kinabalu: Meskipun mencatat kes harian yang tinggi sebanyak 2,651 kes hari ini, lebih separuh daripadanya dikenal pasti sebagai kes tertunggak yang lewat dimasukkan dalam laporan harian Covid-19 Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan sebanyak 1,747 kes atau 66 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini adalah kes yang tertunggak.

“Daripada analisis data hari ini, sebanyak 447 kes (16.9 peratus) adalah keputusan tertunggak melebih lima hari, manakala 364 kes (13.7 peratus) adalah kes tertunggak antara empat hingga lima hari dan sebanyak 936 kes (35.3 peratus) adalah kes tertunggak antara dua hingga tiga hari.

“Ini bermakna hampir 66 peratus kes harian hari ini adalah kes yang didaftar selepas dua hari keputusan saringan diperolehi. Penjelasan ini perlu difahami bagi mengelak tanggapan bahawa jumlah kes harian yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata secara keseluruhan sebanyak 1,612 kes hari injmi atau 60.8 peratus adalah membabitkan kontak rapat, diikuti 689 kes (26 peratus) melalui saringan bergejala dan 107 kes (empat peratus) dikesan melalui kes kluster.

Katanya, daripada 2,651 kes baharu hari ini, 1,683 kes (63.5 peratus) adalah dalam kategori dua, diikuti 940 kes (35.5 peratus) dalam kategori satu, 11 kes dalam kategori tiga, dua kes dalam kategori empat dan sembilan kes dalam kategori lima.

“Ini bermakna 99 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah dalam kategori satu dan dua,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata kes bagi daerah Kota Kinabalu melonjak tinggi kepada 669 kes hari ini, naik 215 kes berbanding 453 kes semalam dengan 60 peratus daripadanya adalah kontak rapat.

Katanya, daerah Penampang juga merekodkan kenaikan 78 kes kepada 406 kes hari ini, manakala Tuaran merekodkan sebanyak 247 kes, diikuti Tawau (240), Sandakan (178), Papar (130), Lahad Datu (100), Putatan (96), Keningau (87) dan Kinabatangan (76).

Satu kluster baharu yang dinamakan Kluster Cantawan di Lahad Datu turut direkodkan hari ini dengan jumlah kes setakat ini sebanyak 46 kes, termasuk 27 kes baharu.

Setakat semalam, 50.3 peratus penduduk dewasa di Sabah menerima satu dos vaksin, manakala 26.9 peratus lagi sudah melengkapkan kedua-dua dos suntikan setakat semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|