PM baharu berpengalaman tangani pandemik

PM baharu berpengalaman tangani pandemik

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan pilihan tepat dalam usaha menangani pandemik Covid-19 yang membelenggu rakyat seluruh negara.

Presidennya, David Chan yakin dengan pengalaman dan kewibawaan Ismail Sabri, Naib Presiden Bera itu mampu mentadbir negara dengan baik selain menguruskan masalah pandemik yang kini masih membimbangkan.

Katanya, sebagai bekas Menteri Kanan Keselamatan yang bertanggungjawab secara langsung dengan pengurusan Covid-19 di negara ini, beliau diharapkan meneruskan kesinambungan usaha sebelum ini selain memperkukuhkannya lagi.

“Bagi pihak persatuan, kita mengalu-alukan pemilihan dan pelantikan beliau. Sememangnya pelantikan itu adalah tepat memandangkan beliau mempunyai pengalaman luas sebagai menteri Kabinet selain pengalaman menguruskan pandemik.

“Kita amat berharap beliau akan terus komited membantu rakyat termasuk menstabilkan semula ekonomi negara yang begitu banyak terjejas khususnya di negeri Sabah ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, pelantikan itu juga diharapkan dapat terus mengukuhkan hubungan baik di antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)bagi menambah baik program pembangunan dan kemajuan negeri.

David berkata, Ismail Sabri memikul tanggungjawab yang lebih besar memandangkan negara belum mencapai imuniti kelompok yang diharapkan mampu menangani kemelut pandemik Covid-19 di negara ini.

“Dalam kita mengejar tahap imuniti kelompok ini, semua pihak perlu terus memberikan kerjasama dengan menjaga prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang pandemik daripada terus merebak.

“Pesanan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham juga perlu diberi perhatian oleh semua kerana setiap orang tidak boleh mengambil ringan SOP dalam keadaan banyak sektor ekonomi telah dibuka semula,” katanya.

Tambah David lagi, setiap orang masih perlu mendisiplinkan diri dengan memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan.

“Elak berada di tempat sesak dan sempit. Jaga diri dan segera mengambil suntikan vaksin kepada yang belum ada temu janji vaksinasi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|