Hubungan Sabah-Kuala Lumpur diharap tambah erat di bawah PM-9

Hubungan Sabah-Kuala Lumpur diharap tambah erat di bawah PM-9

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan harapannya agar hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan bertambah erat di bawah kepemimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata perkara utama yang ditekankan dalam hubungan negeri-Pusat adalah khidmat kepada rakyat dan pembangunan negeri.

Jelasnya, usaha memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 turut menjadi keutamaan dalam hubungan kerjasama di antara kerajaan negeri dan Pusat demi kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Kerajaan GRS menyokong penuh pelantikan beliau (Ismail Sabri) dan kita akan sokong kepemimpinan kerajaan persekutuan serta berharap hubungan kerajaan negeri dan persekutuan akan bertambah erat lagi.

“Ini kerana yang penting bagi kita ialah untuk berkhidmat kepada rakyat dan juga untuk memberi pembangunan kepada rakyat khususnya dalam usaha untuk memulihkan ekonomi kita yang terjejas akibat Covid-19,” katanya kepada pemberita pada lawatan kerja sehari ke Tuaran, hari ini.

Katanya, sebagai Pengerusi GRS, beliau mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baru saja mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, pada jam 2.30 petang tadi.

Hajiji berkata, rakyat Sabah juga meletakkan harapan agar Ismail Sabri memberikan lebih perhatian kepada Sabah.

“Ini terutama sekali dalam urusan mengenai keperluan rakyat Sabah, khususnya pemulihan ekonomi, memerangi Covid-19 dan juga untuk memberi banyak peruntukan kepada Sabah pada masa akan datang,” katanya.

Dalam hal lain, Hajiji meminta rakyat negeri ini supaya sama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibar Jalur Gemilang di premis masing-masing.

“Kibarkan bendera di rumah atau premis perniagaan dan juga tempat awam, inilah cara kita untuk menunjukkan kesetiaan kita, kegembiraan kita kepada negara.

“Kita ceriakan walaupun dalam norma baharu ini. Sebagai rakyat Malaysia, saya berharap rakyat akan mengambil inisiatif sendiri untuk mengibarkan Jalur gemilang di kawasan rumah, kedai dan juga tempat tempat awam yang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|