Hospital Tuaran perlu dinaik taraf sebagai hospital pakar

Hospital Tuaran perlu dinaik taraf sebagai hospital pakar

Tuaran: Hospital Tuaran perlu dinaik taraf untuk dijadikan sebagai sebuah hospital pakar bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sehubungan itu beliau memohon agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan perkara itu demi kebaikan rakyat.

Beliau berkata, kedudukan Hospital Tuaran berdekatan Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dibina selain berada di laluan utama menghubungkan bandar raya Kota Kinabalu, pantai barat utara dan pantai timur Sabah, menjadikannya sangat strategik dinaik taraf sebagai hospital pakar.

“Selain itu, hospital ini masih mempunyai kawasan tapak yang mencukupi untuk membina bangunan tambahan. Justeru, usaha menaik taraf ke hospital pakar amat sesuai dan penting.

“Ia juga selaras dengan permintaan rakyat yang mahukan satu lagi hospital pakar serba lengkap dengan segala kemudahan perubatan diwujudkan di Sabah.

“Usaha menaik taraf hospital ini juga menjadi amat perlu berikutan penularan pandemik Covid-19 ini dan kita berharap ia dapat direalisasikan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim; Pembantu Menteri Kewangan negeri, Jasnih Daya; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai dan Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain.

Hajiji berkata, dengan menaik taraf Hospital Tuaran menjadi hospital pakar ia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kepakaran kawalan jangkitan penyakit kerana belum ada hospital di Sabah yang memfokuskan kepakaran dalam bidang berkenaan selain menjadi ‘surgical base’.

Selain hospital pakar, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri juga berharap kerajaan persekutuan dapat membantu membina klinik kesihatan di dua kawasan di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit.

“Dengan adanya kemudahan kesihatan ini, ia membolehkan penduduk setempat mendapat rawatan awal selain di hospital kerajaan,” katanya.

Sementara itu, mengenai jumlah vaksin, Hajiji berkata kerajaan negeri akan menerima sebanyak 560,720 lagi dos vaksin termasuk CanSino selain Pfizer dan Sinovac, pada minggu depan.

“Ini akan merancakkan lagi momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terutama di kawasan pedalaman. Jika semuanya berjalan lancar, Sabah boleh mencapai 60 peratus rakyat menerima vaksinasi pada atau sebelum 15 September depan sekali gus membolehkan kita beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Amat menggembirakan apabila beberapa hari lalu juga, kita telah mencapai angka tertinggi vaksinasi harian melebihi 60,000 dos. Jika keadaan seperti ini berterusan, kita boleh mencapai imuniti kelompok sekurang kurangnya pada Oktober atau November depan,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan pengurusan vaksinasi yang teratur, Sabah akan mencapai sasaran 60 peratus penduduk lengkap divaksinasi lebih awal berbanding sasaran awal pada Oktober depan.

Setakat ini, katanya jumlah keseluruhan penerima dos pertama vaksin Covid-19 di Sabah ialah seramai 1,428,122 orang.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut melawat Hospital Tuaran dan menerima bakul makanan daripada Persatuan Jurutera Malaysia Cawangan Sabah (ACEM) serta Syarikat Forever Living, untuk diserahkan kepada penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau turut menerima taklimat berkaitan Hospital Tuaran yang disampaikan oleh Pengarahnya, Dr G Mohan Gopal Naidoo.

Sempena lawatan kerja sehari ke Tuaran, Hajiji juga melawat pusat ternakan udang galah di Kampung Shabandar, di sini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|