Harapan untuk PM baharu, tumpu imuniti kelompok, pulih ekonomi

Harapan untuk PM baharu, tumpu imuniti kelompok, pulih ekonomi

Kota Kinabalu: ARMADA Bersatu Sabah meletakkan harapan agar Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menumpukan usaha untuk mencapai imuniti kelompok vaksin Covid-19 dan pemulihan ekonomi yang dirancang kepemimpinan kerajaan Pusat sebelum ini.

Ketuanya, Fairuz Renddan, berkata beliau yakin sebagai pemimpin senior dan berpengalaman, Ismail Sabri mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, khususnya tumpuan untuk memastikan rakyat divaksin demi kesihatan dan kepentingan negara.

“Pastinya kita akan terus menyokong dan memberi kerjasama kepada semua usaha berterusan pihak kerajaan khasnya yang memberi kebaikan kepada rakyat dan negara kerana kita perlu bersama-sama bangun semula dan berganding bahu untuk keluar daripada ancaman pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, berkata sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Ismail dibuat bersama semata-mata untuk kelancaran pentadbiran kerajaan dan tadbir urus negara.

“Sememangnya semua ingin yang terbaik untuk pemulihan negara, sama ada dari segi ekonomi dan keselamatan rakyat. Semua ini menjadi pertimbangan yang wajar difokuskan tanpa perlu timbul isu lain yang menjejaskan usaha murni kepemimpinan kerajaan ketika pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Mengenai pelantikan barisan Kabinet pula, pastinya beliau (Ismail) bijak dan akan memilih pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab dan berganding tenaga serta idea untuk membawa keluar Malaysia daripada kemelut Covid-19,” katanya.

Fairuz turut meminta semua pihak agar terus berdoa untuk kesejahteraan Malaysia dan bekerjasama ke arah memulihkan negara.

Katanya, semua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memulihkan ekonomi, kesihatan, melindungi keluarga dan rakan serta mengukuhkan keharmonian negara.

“Saya yakin, jika niat kita murni, Tuhan akan memudahkan urusan kita dan membantu memberikan jalan keluar. Kepada semua pemimpin, kita fokus pada usaha membantu rakyat, jangan bersengketa, mengadu domba dan menjadi duri dalam daging.

“Matlamat kita sama iaitu hanya ingin memerdekakan negara daripada belenggu Covid-19. Jadi mari kita bersama, bersabar dan berkhidmat kerana inilah yang rakyat harapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|