KRT mampu berperanan perkukuh kesejahteraan komuniti: Shahelmey

KRT mampu berperanan perkukuh kesejahteraan komuniti: Shahelmey

Putatan: Peranan Komuniti Rukun Tegangga (KRT) harus diperkukuhkan dalam memastikan kesejahteraan komuniti terus terbela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya berkata ini bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan hidup komuniti terutamanya semasa pandemik Covid-19 ini.

“Kita menyeru semua KRT agar menjalankan program RT Cares ini bagi kita sama-sama menjalankan tanggungjawab sosial dan juga melahirkan rasa prihatin kita kepada golongan terkesan akibat pandemik.

“Ia merupakan satu tanggungjawab sosial kementerian dan juga memupuk kesedaran rakyat agar menghargai erti kemerdekaan” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika menghadiri program RT Cares dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Daerah Putatan di Putatan pagi tadi.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menyeru orang ramai agar memberi kerjasama dalam usaha melandaikan penularan Covid-19 di negara ini.

“Kita sudah melihat tanda-tanda pemulihan dengan kadar kemasukan ke ICU yang semakin rendah dan juga peningkatan jumlah pemberian vaksin yang begitu baik sekali.

“Kita harap rakyat sama-sama berkerjasama untuk jayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan(PICK) ini agar kita dapat keluar daripada pandemik yang kita sedang harungi sekarang.

“Utamakan kestabilan negara, fokus kepada mengharungi pandemik dan memulihkan ekonomi negara. Berilah sokongan padu” katanya.

Program RT Cares ini merupakan sebuah program penyampaian bakul makanan kepada penduduk terkesan pandemik di kawasan rukun tetangga yang dikelolakan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang bernaung dibawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Negeri Sabah.

Shahelmey juga menyeru orang ramai agar mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan pada tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|