Wakil UMNO Sabah dijangka barisi Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri

Wakil UMNO Sabah dijangka barisi Kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Kesembilan Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Secara tidak langsung selesailah sudah kemelut ‘perebutan’ jawatan Perdana Menteri di antara dua nama, Ismail Sabri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyusul selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu.

Hampir seminggu juga topik mengenai calon Perdana Menteri menjadi perbincangan hangat di seluruh negara sehinggalah Yang di-Pertuan Agong mengumumkan nama Ismail Sabri sebagai calon yang berjaya pada Jumaat lalu.

Esok Ismail Sabri secara rasmi bakal memulakan tugasnya di pejabat Perdana Menteri dan mulai esok juga ‘kemelut’ baharu pula menyusul dalam politik kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri, iaitu mencari calon anggota Kabinet.

Sudah pasti rakyat mahu tahu siapa bakal Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Menteri Pendidikan dan pelbagai lagi portfolio yang biasa membarisi Kabinet negara.

Bagi kita di Sabah, rakyat sudah tentu tertunggu-tunggu berapa ramai pemimpin dari negeri ini dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet Ismail Sabri, mungkinkah akan bertambah atau berkurang berbanding sebelum ini.

Di bawah kepemimpinan Muhyiddin sebelum ini, Sabah ada dua menteri yang disandang Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Empat jawatan timbalan menteri juga diberikan kepada Ahli Parlimen dan Senator dari Sabah sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri (Timbalan Menteri Kewangan); Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin (Timbalan Menteri Dalam Negeri); Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Senator Datuk Guandee Kohoi (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).

Mungkinkah ada di antara mereka ini dinamakan kembali dalam Kabinet Ismail Sabri atau bakal diganti pemimpin lain, kecuali tiga pemimpin mewakili PBS, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mungkin kekal kerana masing-masing hanya ada satu kerusi Parlimen.

Namun yang pasti nama pemimpin UMNO dari Sabah kali ini dijangka turut membarisi Kabinet Ismail Sabri selepas tiada seorangpun wakil UMNO Sabah dalam kerajaan Muhyiddin sebelum ini.

Jika dilihat, daripada dua Ahli Parlimen UMNO dari Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), nama Mohamad dijangka naik kerana tidak mungkin Bung Moktar mahu melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya negeri untuk beralih ke Kabinet persekutuan.

Jangkaan kemunculan lebih ramai pemimpin UMNO dalam Kabinet persekutuan kali ini tidak menghairankan kerana Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO dan beliau mendapat restu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicalonkan sebagai Perdana Menteri mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam kalangan pemimpin BERSATU Sabah pula, Ronald dijangka dikekalkan sebagai calon menteri mewakili parti berkenaan sejajar kedudukan Ahli Parlimen Beluran itu sebagai orang nombor tiga dalam BERSATU.

Selain Sabah, perhatian juga sudah tentu tertumpu di Sarawak memandangkan negeri itu menyumbang sokongan yang banyak kepada pencalonan Ismail Sabri untuk menduduki kerusi Perdana Menteri menerusi komitmen diberikan 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Malah, ada yang menyuarakan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Ahli Parlimen dari Sarawak sebagai tanda penghargaan kerajaan Pusat terhadap sokongan diberikan wakil dari negeri itu dan Sabah kepada Ismail Sabri.

Perkara itu dibangkitkan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, kelmarin yang menyuarakan harapan agar jawatan nombor dua kerajaan Pusat itu diberi keutamaan kepada pemimpin dari Borneo, khususnya Sarawak sejajar jumlah besar kerusi Parlimen yang disumbangkan kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Sarawak sebelum ini diberi kepercayaan memegang Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selain tujuh timbalan menteri.

Pemimpin dari negeri itu dijangka sekali lagi diberi kepercayaan untuk membarisi jumlah portfolio yang sama, kecuali Ismail Sabri memutuskan untuk mengecilkan saiz Kabinetnya bagi mengurangkan kos kerajaan seperti dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

Dalam pada itu, perhatian rakyat juga tentunya tertumpu kepada siapa pemimpin di Semenanjung yang akan dipilih Ismail Sabri dalam Kabinetnya, khususnya yang mewakili UMNO dan BERSATU.

Mungkinkah akan lebih ramai wakil daripada UMNO berbanding BERSATU dan PAS kerana ramai melihat kerajaan yang baharu ini lebih cenderung kepada BN berbanding Perikatan Nasional (PN) meskipun Muhyiddin ada menyebut kerajaan baharu diterajui Ismail Sabri adalah kesinambungan PN.

Namun, Muhyiddin awal-awal lagi mengingatkan bahawa sokongan BERSATU dan PN terhadap Ismail Sabri adalah bersyarat yang mana beliau tidak mahu ada pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah atau golongan kleptokrat dibawa masuk dalam Kabinet baharu ini.

Ia bermakna, Ismail Sabri mungkin tidak berani untuk membawa masuk nama-nama seperti Ahmad Zahid dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak ke dalam Kabinetnya memandangkan masing-masing masih berdepan perbicaraan kes salah guna kuasa dan 1MDB di mahkamah.

Namun, ramai yang mencadangkan agar nama yang bersih seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohammad Hasan dibawa masuk dengan melantiknya sebagai Senator berdasarkan pengalaman luasnya dalam pentadbiran kerajaan ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum ini.

Nama lain, khususnya Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr Adham Baba yang terbabit secara langsung dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan melaksanakan program vaksinasi dalam Kabinet Muhyiddin sebelum ini dijangka kekal dalam Kabinet Ismail Sabri.

Di pihak BERSATU pula, Muhyiddin selaku presiden parti itu dijangka menyenaraikan semula beberapa nama Ahli Parlimennya di Semenanjung seperti Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Azmin Ali untuk dipertimbangkan Ismail Sabri.

Mungkinkah juga pelantikan orang bukan politik seperti tokoh agama, Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan bekas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan dibawa semula dalam Kabinet baharu itu nanti?

Dalam pada itu, persoalan juga timbul sama ada Ismail Sabri akan mempertimbangkan cadangan untuk mewujudkan kerjasama rentas parti dengan turut melantik pemimpin pembangkang dalam Kabinetnya dalam usaha untuk meredakan ketegangan politik di antara pihak kerajaan dengan pembangkang.

Tentunya Ismail Sabri ketika ini sedang sibuk memikirkan apakah pendekatan terbaik untuk memastikan Kabinet yang diketuainya nanti adalah gabungan pemimpin pelbagai parti yang mampu membantunya dalam usaha memulihkan negara dan menangani penularan pandemik Covid-19.

Ia bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih lagi untuk memuaskan hati semua pihak dan pada masa yang sama menggalas tugas yang berat untuk menangani segera krisis pandemik Covid-19 yang dilihat semakin membimbangkan sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|