1. Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) yang ditubuhkan pada tahun 1971, telah melantik Datuk Ar. James sebagai Pengurus Besar Kumpulan (GGM) menggantikan Tuan Haizar Razif Hisyam yang telah tamat kontrak perkhidmatannya.
2. Kita maklum, penubuhan SEDCO diperuntukkan melalui Enakmen Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri No. 30 (1971) susulan penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai misi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat termasuklah Bumiputra di Sabah.
3. Perlantikan beliau telah menimbulkan pelbagai reaksi. Reaksi pertama dan positif: golongan yang ingin melihat kelangsungan dan kemajuan SEDCO. Perlantikan beliau ini diyakini mampu menambah kekuatan badan yang menjadi antara tonggak penting kemajuan ekonomi Sabah. Sementara reaksi kedua dan negatif, mempersenda malah melihat perlantikan beliau ke jawatan utama eksekutif Government Link Companies (GLCs) itu telah membelakangkan semangat kebumiputraan rakyat Sabah! Dengan kata lain, GGM mesti Bumiputra!
4. Pada saya, reaksi kedua (negatif) ini tidak lebih hanyalah satu cubaan kelompok tertentu yang menimbulkan persepsi negatif golongan bumiputra Sabah. Seolah-olah YAB DSP Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri, Menteri berkaitan & Pengerusi SEDCO (Bertaraf Menteri) YB Datuk Rubin Balang telah mengkhianati orang Bumiputra Sabah dengan lantikan pertama kalinya ke jawatan ini sejak penubuhan SEDCO dari individu berketurunan Cina!
5. Saya meneliti serba-sedikit latar belakang GGM baharu ini. Apa yang saya lihat dan yakin, perlantikan beliau ini berdasarkan merit dan kebolehan dalam memimpin dan menguruskan organisasi yang cemerlang.
6. Datuk Ar. James adalah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang datang dari sebuah keluarga yang sangat berkebolehan! Ayahnya, Datuk Ar. Francis Wong, seorang yang ternama dan amat berjasa di atas pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu. Sementara, Kakak beliau, Penny Wong merupakan Menteri Luar Australia yang pertama dari kalangan orang Asia! Dan beliau sendiri merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat senibina sendiri yang kukuh dan bertapak di Sabah dengan kekuatan 50 staff pengurusan dan 200 kakitangan di peringkat lapangan!
7. Dari segi pencapaian, beliau telah menerima pelbagai anugerah berasaskan sumbangan signifikannya dalam bidang arkitektur dan perniagaan di peringkat nasional. Dari segi sumbangan sosial, beliau merupakan Pengerusi Cawangan Sabah, Malaysia Chinese Chamber Of Commerce- Young Entrepreneurs Committee (MCCC-YEC), Presiden Sabahan Architect-Entreprenuers dan Presiden (Pengasas) Sabah Young Business & Industry Leaders (SYBIL). Di samping itu, beliau turut memberikan sumbangan yang signifikan dengan mencipta pelbagai jenama berasaskan kepada bunyi dan semangat Sabahan seperti UINAH Sabah, MissReno dan banyak lagi!
8. Dengan menyebut sedikit latar belakang dan pencapaian beliau ini, persoalannya ialah, adakah beliau dilantik tanpa kelayakan atau merit? Adakah beliau terkurang Sabahan? Adakah beliau sedikit pun tiada sumbangan kepada perkembangan perniagaan bumiputra di Sabah?
JAWAPANNYA TIDAK! SESUNGGUHNYA LANTIKAN INI BERASASKAN MERIT DAN BUKANNYA BERBAUR KEPENTINGAN POLITIK! MISI UTAMA BELIAU MEMBANTU KERAJAAN NEGERI MELALUI SEDCO UNTUK MEMASTIKAN HALATUJU SMJ DICAPAI DENGAN JAYANYA!
9. Saya secara peribadi yakin, bahawa beliau dipilih kerana memiliki ciri-ciri tertentu antaranya ialah berilmu, berpengalaman, berintegriti dan yang penting juga kaya dengan semangat Sabahan! Sama ada YAB Ketua Menteri, YB Menteri atau YB Pengerusi SEDCO (Bertaraf Menteri) dan Ahli Lembaga Pengarah, telah memaklumkan bahawa antara misi utama (KPI) perlantikan beliau ialah membangunkan masyarakat perniagaan bumiputra Sabah!
10. Di samping itu, diharapkan barisan kepimpinan pengurusan SEDCO perlulah berlapang dada dan tidak termakan dengan pancingan emosi pihak tertentu yang suka melaga dan menghancurkan organisasi seperti SEDCO. Tidak ada sebarang peruntukan penubuhan SEDCO bahawa jawatan GGM adalah Ekslusif hanya untuk Bumiputra! Sebaliknya, gunakan kehadiran beliau ini masa untuk mempelajari dan mendapatkan ilmu serta pengalaman beliau dalam memajukan perniagaan. Saya yakin, anda juga suatu hari layak sebagai GGM! Yakinlah, bahawa ini dibuat untuk menjayakan Succession Planning agar SEDCO dapat diterajui oleh “Anak SEDCO Bumiputra” sendiri!
11. Kesimpulannya, perlantikan Datuk Ar. James Wong sebagai GGM SEDCO pertama bukan dari kalangan bumiputra adalah tepat berasaskan merit dan memenuhi slogan Sabah First! Moga-moga beliau berjaya membantu memacu ekonomi negeri kita dengan berasaskan kepada teras yang terkandung di dalam Halatuju SMJ yang digagaskan oleh YABDSP Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri.
Sekiranya beliau berjaya, maka cara kerja, sikap dan ilmu yang beliau miliki perlu dijadikan penanda aras kepada semua GLC Milik Kerajaan Negeri Sabah agar negeri kita akan terus maju jaya.

Mantan Timb Pengerusi PN Sabah, Aksyah Nasrah.
SIARAN MEDIA INI MERUPAKAN KENYATAAN DARIPADA MANTAN TIMBALAN PENGERUSI PN SABAH, AKSYAH NASRAH.