GRS perlu cari resepi untuk mantapkan komunikasi rakyat

GRS perlu cari resepi untuk mantapkan komunikasi rakyat

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerlukan mekanisme tambahan untuk menterjemah sesuatu isu secara konsesus bagi difahami kepada rakyat di negeri ini.

Penganalisis Politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa berkata, pelbagai isu atau permasalahan yang sering dimainkan harus dijawab dengan efisyen supaya elemen negatif dapat dikontrakan dan seterusnya sampai kepada minda masyarakat.

Jelasnya, dengan menjadikan rakyat sebagai konsensi utama dalam penyebaran maklumat dan apa dilakukan oleh pentadbiran kerajaan negeri, maka mekanisme sedia ada perlu ditambah baik sebagai mempertingkat keupayaan rakyat menghadapi cabaran kehidupan, ekonomi dan sosial.

“Pendekatan kerajaan GRS-PH yang dikemudikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sememangnya menerima sambutan rakyat Sabah namun demikian, prestasi berkenaan sering dibelenggu dengan isu-isu remeh melibatkan permasalahan ‘tradisi’ seperti isu air, elektrik dan kemudahan asas jalan raya….”Penganalisis Politik dari UMS, Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa.

“Bukanlah katakan yang sekarang ini tidak ada, tetapi bagi pendapat saya ianya perlu lebih kuat lagi untuk mencakupi minda rakyat yang kerajaan sekarang sedang bertungkus lumus memperbaiki kehidupan rakyat, menangani masalah infra dan kos sara hidup.

“Sebagai contoh menghebahkan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI setiap kementerian, jabatan kerajaan sehinggalah ke peringkat akar umbi melibatkan kerja-kerja pentadbiran, ini rakyat mahu tahu setakat mana pencapaian kerajaan lakukan demi mereka.

“Dalam masa sama, elakkan menggunakan strategi konservatif atau ketinggalan zaman di mana pada masa ini, kita dihidangkan dengan teknologi moden yang perlu dimanfaat sebagai contoh konsep anak muda yang berpaksikan maklumat di laman media sosial,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan kerajaan GRS-PH yang dikemudikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sememangnya menerima sambutan rakyat Sabah namun demikian, prestasi berkenaan sering dibelenggu dengan isu-isu remeh melibatkan permasalahan ‘tradisi’ seperti isu air, elektrik dan kemudahan asas jalan raya.

Sehubungan itu jelas Sohaimi, GRS perlu menjadi parti tempatan yang ‘rancak bersuara’ soal pembangunan dan perjelas dengan strategi komunikasi bersesuaian dengan rakyat terutamanya ketika menangani dakyah sesetengah pihak yang menjadikan isu-isu berkenaan sebagai senjata politik mereka.

“Bagi pendapat saya, GRS dilihat sebagai wadah bersesuaian dengan kehendak rakyat tempatan Sabah di mana parti ini lebih bersifat lokal dan memahami nadi masyarakat umum di Sabah.

“Akan tetapi, perkara ini perlulah dikuatkan dengan kaedah mengagungkan rakyat di mana seperti mana diketahui umum, musim pilihan raya negeri akan berlaku tidak lama lagi.

“Oleh yang demikian, bentuk hala komunikasi kepada rakyat jangan kelihatan tumpul kerana ini merupakan elemen penting kepada rakyat untuk menilai kemampuan GRS mentadbir, “katanya.

Jelas beliau lagi, kepercayaan Perdana Menteri ke-10 (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keupayaan Hajiji mentadbir kerajaan campuran atau perpaduan di Sabah perlu dimanfaatkan oleh GRS dalam menambahbaik hal pentadbiran di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Ikatan kukuh antara pentabdiran kerajaan Hajiji dan PMX perlu diselenggarakan sebaik mungkin dengan kerjasama rapat ini memberi imbuhan kepada rakyat Sabah.

“Jika acuan ini mendapat tempat di hati rakyat, saya juga beranggapan GRS tidak mempunyai banyak masalah dalam menghadapi kempen pilihan raya negeri nanti, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|