Genap setahun memerintah, GRS lepasi ujian politik, susun strategi majukan Sabah

Genap setahun memerintah, GRS lepasi ujian politik, susun strategi majukan Sabah

Kota Kinabalu: Hari ini genap setahun usia kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 26 September tahun lalu.

GRS dibentuk melalui kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari penamaan calon PRN-16 pada 11 September tahun lalu.

PN Sabah merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), manakala BN Sabah disertai UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Ketika itu, GRS dijadikan sandaran untuk mengalahkan parti pemerintah yang ditunjangi Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan sekutunya, Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Pada malam 26 September tahun lalu, parti yang membentuk GRS diumumkan mengumpul kerusi terbanyak dengan 38 kerusi, diikuti 32 kerusi dimenangi gabungan WARISAN Plus, manakala tiga kerusi lagi dimenangi calon bebas daripada 73 kerusi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Bagaimanapun, tiga calon bebas terbabit iaitu Datuk Rubin Balang (Kemabong), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan Datuk Rudy Awah (Pitas) mengambil pendirian menyokong GRS.

Penulis masih ingat, walaupun sudah mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, berlaku sedikit ‘drama’ sebelum Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah pada 29 September tahun lalu.

Dalam tempoh dua hari sebelum ke Istana Seri Kinabalu, beberapa spekulasi timbul iaitu kononnya GRS sukar mencapai kata sepakat untuk memilih Ketua Menteri, manakala Warisan Plus pula dikatakan mencari peluang mendapatkan sokongan lawan dan menggunakan kedudukannya sebagai parti paling banyak memenangi kerusi dalam cubaan untuk mengekalkan kuasa.

Itu antara cabaran awal dihadapi kerajaan GRS, namun ia akhirnya selesai apabila Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri diikuti tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam pada 28 September 2020.

Selepas membentuk Kabinet, GRS mengukuhkan lagi kedudukan dengan melantik enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, menjadikan 47 jumlah kerusi keseluruhan dimiliki GRS dalam DUN.

Enam ADUN Dilantik itu, masing-masing dua mewakili UMNO dan BERSATU, manakala masing-masing satu mewakili SAPP dan PAS. Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan adalah individu pertama mewakili PAS dalam DUN Sabah.

Pada Februari tahun ini pula, GRS menambahkan lagi kekuatan apabila mendapat sokongan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar daripada WARISAN sekali gus meningkatkan kerusi GRS kepada 48.

Setakat ini, pembangkang yang diwakili WARISAN dan PH memiliki 30 kerusi, manakala satu kerusi kosong iaitu DUN Bugaya berikutan kematian penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah pada November tahun lalu.

Bagi memantapkan lagi kerjasama dalam GRS, semua parti yang membentuk gabungan itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 9 Januari lalu dan menyatakan pendirian bersama menolak campur tangan luar dalam gabungan berkenaan.

Campur tangan itu dikaitkan dengan perubahan landskap politik di Semenanjung yang menyaksikan UMNO mengambil alih tampuk kepemimpinan beberapa negeri.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah turut tampil menjelaskan pendirian UMNO negeri untuk mempertahan GRS sejajar dengan mandat yang diberikan rakyat pada PRN-16.

Kedudukan GRS juga tidak tergugat ketika kemelut UMNO Pusat dengan kerajaan PN persekutuan yang menyaksikan Muhyiddin tunduk kepada tekanan dan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum digantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Kesembilan, bulan lalu.

Dalam usia setahun, selain ranjau politik, GRS tidak terkecuali berdepan kesan pandemik Covid-19 yang menyaksikan lebih banyak tumpuan terpaksa diberikan dalam usaha menangani penularan virus berkenaan.

Malah, sejurus selepas PRN-16, berlaku gelombang ketiga Covid-19 di Sabah yang dikatakan tercetus akibat pilihan raya itu menjadi medan ujian pertama GRS dalam menangani penularan pandemik berkenaan.

Pada masa yang sama, GRS juga perlu melaksanakan strategi baharu untuk membangunkan negeri dan mengembalikan negeri ini ke landasan pertumbuhan yang betul seperti sebelum ini.

Hasilnya, lahirlah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menggariskan pendekatan baharu pembangunan Sabah dalam pelbagai bidang ekonomi yang dilancarkan pada 29 Mac lalu.

Menerusi SMJ, pelbagai inisiatif sudah mula dilaksanakan yang merangkumi sektor pelancongan, perindustrian dan pertanian yang membabitkan pelaburan berbilion ringgit.

Beberapa projek berimpak tinggi, antaranya projek bandar pelancongan baharu di Lok Kawi, kilang keranjang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), projek penanaman kelapa dan industri hilirannya serta pelbagai lagi projek bakal dilaksanakan di bawah SMJ.

Usaha ke arah melonjakkan ekonomi Sabah adalah antara akujanji dalam manifesto GRS pada PRN-16, selain pembangunan infrastruktur dan perkara berkaitan hak Sabah serta tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada sambutan Hari Malaysia Ke-58, 16 September lalu, Hajiji turut mengulangi harapannya agar rundingan berkaitan MA63 diberi keutamaan di bawah kepemimpinan Ismail Sabri sejajar komitmen GRS untuk menjaga dan menuntut kepentingan rakyat Sabah.

Tempoh setahun mungkin masih terlalu awal untuk menilai dan melihat secara jelas pencapaian GRS, lebih-lebih lagi GRS mengambil alih kepemimpinan dalam situasi mencabar disebabkan pandemik Covid-19.

Namun, perlu diakui kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ini berjaya melepasi beberapa ‘ujian’ politik selain memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama menyusun strategi untuk meneruskan pembangunan Sabah.

Dengan usaha bersepadu untuk mencapai komuniti kelompok Covid-19 pada akhir bulan depan, usaha menggerakkan ekonomi yang tersekat disebabkan pandemik sejak kira-kira dua tahun lalu pastinya lebih lancar selepas itu.

Berbaki empat tahun lagi sebelum pilihan raya negeri yang seterusnya, pasti apa yang dirancang kerajaan GRS dapat dilaksanakan dan membuahkan hasil yang diharapkan, terutama dalam meningkatkan semula ekonomi dan menyediakan lebih banyak pembangunan dan kemakmuran untuk rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|