Papar: Seorang lelaki ditemui maut dipercayai akibat lemas terhidu asap selepas kediamannya di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa Abdul Rahman Abu, 38, yang dipercayai terperangkap di bilik air rumahnya ketika cuba menyelamatkan diri disahkan meninggal dunia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi.
Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan BBP Beaufort terus dikerah ke lokasi kejadian.
Anggota bomba memadam kebakaran yang mengorbankan seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, Papar.Gambar ihsan JBPM Sabah
“Sebaik tiba api masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Pasukan Bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan menerusi tangki jentera bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Api yang masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak. Gambar ihsan JBPM Sabah
Menurutnya, terdapat seorang mangsa yang temui di bahagian bilik mandi dan pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
Katanya, mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Turut terbakar sebuah kereta jenis Proton Saga yang mengalami kerosakan hampir 30 peratus manakala rumah mangsa pula musnah lebih 90 peratus.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.48 pagi dan operasi pemadaman diteruskan sehingga tiada lagi punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Setakat ini tiada lagi mangsa lain dilaporkan dalam kejadian ini dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.” katanya
Menurutnya, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan bahagian forensik JBPM Sabah.
-Deasoka