Tawau: Dua blok rumah pekerja yang mempunyai 20 pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Brumas Selekung, di sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba I Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.35 petang.
Dua blok rumah pekerja yang mempunyai 20 pintu musnah dalam kebakaran di Kampung Brumas Selekung, Tawau. Gambar ihsan JBPM Sabah
Katanya, sepasukan 14 anggota bersama dua jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 90 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan dua blok rumah kongsi 20 pintu jenis tidak kekal musnah sepenuhya.
“Operasi kemudiannya dijalankan bagi memadam bara-bara api yang dikhuatiri boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan termasuk jumlah keluarga pekerja yang terbabit dalam insiden ini.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Bahagian Forensik JBPM dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa
-Deasoka