Covid-19 Sabah: Kes naik semula lebih 1,000

Covid-19 Sabah: Kes naik semula lebih 1,000

Kota Kinabalu: Sabah kembali mencatat kes baharu Covid-19 empat angka dengan sebanyak 1,078 kes dilaporkan hari ini selepas turun di bawah paras empat angka iaitu 962 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata keadaan itu disebabkan ‘trend’ perubahan angka bagi kadar jangkitan harian Covid-19 yang tidak statik dan sentiasa berubah.

Katanya, keadaan yang tidak statik itu antara lain dipengaruhi oleh kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat.

“Semakin tinggi kadar pematuhan SOP maka semakin rendah risiko untuk berlaku pertambahan jangkitan.

“Pada hari ini, jumlah peningkatan kes Sabah selari dengan statistik bilangan daerah mencatatkan peningkatan kes iaitu 14 daerah berbanding 12 daerah yang mencatatkan penurunan kes dengan hanya Sandakan kekal mencatatkan kes yang sama seperti semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi berkata, bagi kawasan bandar utama, Lahad Datu mencatat peningkatan kes tertinggi iaitu sebanyak 131 kes (+58), diikuti Kota Kinabalu 123 kes (+32), Sandakan 81 kes dan Penampang 64 kes (+16) kes.

Katanya, kawasan bandar utama lain mencatat penurunan dengan Tawau 41 kes (-23), Putatan 34 kes (-14) dan Kudat 22 kes (-6).

“Sebanyak 13 kes baharu yang didaftarkan di Kota Kinabalu hari ini melibatkan pekerja pelantar minyak.

“Antara daerah lain yang mencatat peningkatan ketara ialah Keningau 102 kes (+41), Ranau 69 kes (+34), Nabawan 39 kes (+22), Pitas 39 kes (+14) dan Tongod 14 kes (+12),” katanya.

Daerah yang mencatat penurunan katanya ialah Kalabakan iaitu menurun 23 kes kepada hanya tiga kes hari ini, diikuti Papar 32 kes (-21) dan Tenom 14 kes (-18).

Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal menjadi penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah hari ini dengan 611 kes atau 56.7 peratus, diikuti saringan bergejala 306 kes atau 28.4 peratus dan saringan kluster sebanyak 36 kes atau 3.3 peratus.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|