Hajiji tidak perlu diralatkan dengan semua tuduhan negatif: Penganalisis Politik

Hajiji tidak perlu diralatkan dengan semua tuduhan negatif: Penganalisis Politik

KOTA KINABALU: Kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor tidak harus diralatkan dengan sebarang andaian negatif terhadap semua masalah infrastruktur dan kemudahan asas di negeri ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Romzi Ationg berkata, naratif yang selalu dibawa sesetengah pihak dengan memperlihatkan isu-isu semasa seperti kerosakan jalan raya, masalah asas infra dan sebagainya perlu dilihat secara tuntas akan puncanya dengan bukan hanya menyalahkan satu pihak.

Jelas beliau, naratif seumpama ini yang semakin dimainkan pihak tertentu terutamanya di laman media sosial agak membimbangkan kerana ia sedikit sebanyak mampu mempengaruhi keyakinan pelabur untuk datang ke Sabah.

“Mengubah kerajaan itu pun bukanlah satu jaminan akan prestasi infrastruktur kita mampu mencapai tahap memuaskan, tetapi juga akan berdepan masalah sama seperti Hajiji sekarang…”Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr Romzi Ationg

“Ya sudah tentu, siapa pun kerajaan di Sabah ini tidak lari daripada sebarang kecaman atau kritikan.

“Akan tetapi, dengan melihat situasi terkini yang mana naratif dan andaian negatif itu semakin berlegar menyalahkan kepimpinan Hajiji…saya rasa ia kurang tepat kerana kita perlu mencari punca sebenar permasalahan-permasalahan yang dihadapi.

“Banyak faktor perlu diambil kira, mengambil contoh isu jalan raya rosak, kita perlu memahami konsep jalan raya dibawah kuasa negeri atau persekutuan, begitu juga dengan isu air, kita perlu tahu juga mengapa ia berlaku sebagai contoh terdapat penambahbaikan loji rawatan dan sebagainya.

“Saya bimbang, tohmahan demi tohmahan yang dimainkan pihak tertentu ini akan mempengaruhi sentimen pelabur yang mahu meneroka keupayaan dan potensi perniagaan mereka di Sabah dan cabaran ini perlu kita perlu pertimbang bersama, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambah Romzi, beliau turut berpandangan pihak kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan secara menyeluruh untuk menerangkan isu-isu yang terpalit dengan efisyen bagi memastikan rakyat terus memahami keadaan sebenar.

“Komunikasi dan penerangan antara dua hala perlu diberikan tumpuan mengenai hal ini kerana tidak adil hanya Ketua Menteri sahaja dipersalahkan sedangkan perkara ini menjangkaui pengetahuan umum.

“Bukanlah dimaksudkan sekarang ini tidak ada penjelasan, tetapi saya beranggapan ianya tidak sampai ke minda masyarakat umum yang dilihat semakin terpengaruh akan naratif negatif yang dibawa tadi, ” katanya.

Beliau turut menjelaskan, di Sabah mempunyai trek rekod kerajaan yang sering bertukar sejak merdeka namun prestasi terhadap keupayaan mentadbir urus permasalahan infra masih kekal sama dan ia sama sekali perlu diselesaikan dari semasa ke semasa.

“Menurut dapatan yang saya terima dan kaji, faktor mahu mengubah kerajaan itu pun bukanlah satu jaminan akan prestasi infrastruktur kita mampu mencapai tahap memuaskan, tetapi juga akan berdepan masalah sama seperti Hajiji sekarang.

“Apa yang penting bagi saya, biarlah kepimpinan pentadbiran GRS dan PH untuk diberi peluang akan mentadbir negeri ini yang mana kita maklum ianya berbaki sekurang-kurangnya setahun lebih sahaja lagi.

“Sebagai rakyat, kita perlu nilai kualiti pentadbiran sebaik mungkin untuk membuat keputusan pada pilihan raya negeri nanti, ” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|