Perihal papan tanda KM, tanda penyokong pembangkang berhati hitam: PERSANTUN

Perihal papan tanda KM, tanda penyokong pembangkang berhati hitam: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Isu papan tanda yang digunakan untuk mempromosikan ucapan Salam Ramadan dan Aidilfitri Ketua Menteri Sabah seharusnya tidak disensasikan sehingga menimbulkan presepsi negatif.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, pihak terutamanya pembangkang yang sengaja mencetuskan provokasi dan meremehkan perihal tersebut sebenarnya menjadi kayu pengukur betapa sakit hatinya mereka kepada Ketua Menteri.

Manakan tidak, isu papan tanda pun menjadi senjata politik mereka untuk disensasikan demi mendapat perhatian di kalangan pengguna laman sosial sedangkan ketika pembangkang bergelar kerajaan dahulu, mereka juga digelar sebagai ‘Bapa Poster’ Sabah.

“Bagi saya ini perkara melucukan kerana ada sahaja yang mengaitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mereka akan sakit hati termasuklah isu papan tanda ucapan Salam Ramadan atau Hari Raya.

“Kalau dahulu, mereka mencanang perkara seperti papan tanda Sabah Maju Jaya (SMJ) di mana-mana, tetapi saya beranggapan mereka ini sakit hati dengan apa yang sudah dilakukan oleh Ketua Menteri.

“Papan tanda ini adalah sebagai tanda ingatan, ucapan kepada rakyat dari segi penghebahan atau publisiti di jalan-jalan raya utama di Sabah, tidak timbul isu pun sedangkan mereka dahulu pun berbuat perkara yang sama.

“Saya masih ingat, waktu pilihan raya dahulu mereka ini terutamanya pembangkang parti WARISAN, muka Presiden mereka sahaja di mana-mana penuh billboard di Sabah ini, jadi janganlah sengaja bangkitkan perkara yang bukan rasional,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, isu papan tanda yang mempromosikan ucapan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri dan isteri ditempelak penyokong-penyokong pembangkang terutamanya di media sosial dengan mengaitkan prestasi semasa Hajiji dalam pentadbiran GRS-PH di Sabah.

“Susahlah macam ini, kita bukan mahu mengalihkan isu akan tetapi kalau papan tanda ucapan Selamat Menyambut Hari Ramadan dan Hari Raya pun sengaja dijadikan senjata politik maka nampak sangatlah mereka ini sangat sakit hati dengan kepimpinan Hajiji.

“Janganlah semua benda mahu diperalatkan supaya rakyat membenci kerajaan, sudah-sudahlah.

“Kita sekarang berhadapan dengan cabaran ekonomi yang mana Ketua Menteri saya percaya amat komited dalam komitmennya demi memajukan Sabah, saya harap rakyat di luar sana tidak termakan dengan naratif songsang dan murah seperti ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|