Tiga ‘otai’ syabu ditahan

Tiga ‘otai’ syabu ditahan

Beaufort: Tiga ‘otai’ ditahan selepas dikesan terbabit dalam aktiviti penagihan dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bintuka, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 7.40 pagi itu, polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 45 hingga 57 tahun.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, serbuan dijalankan pasukan bahagian siasatan jenayah narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, hasil maklumat risikan.

Katanya, sebaik ditahan, pemeriksaan fizikal yang dijalankan pada awalnya tidak menemui sebarang kesalahan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam bilik rumah berkenaan kemudiannya membawa kepada penemuan satu kotak rokok mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram.

“Ketiga-tiga suspek terus ditahan dan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, hasil ujian saringan ari kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|