Sejam bertarung tangkap buaya Kampung Nagapas

Sejam bertarung tangkap buaya Kampung Nagapas

Papar: Seekor buaya yang tular di media sosial selepas dirakam muncul di atas jalan di Kampung Nagapas, di sini, Rabu lalu, akhirnya ditangkap, hari ini.

Haiwan sepanjang kira-kira tiga meter berkenaan berjaya ditangkap pada jam 7.30 malam tadi oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Papar yang turut dibantu penduduk kampung.

Pasukan APM dibantu penduduk kampung berjaya menangkap buaya berkenaan.

Buaya berkenaan pada awalnya dikesan penduduk kampung di kedudukan kira-kira 100 meter daripada lokasi pertama haiwan itu ditemui minggu lalu.

Ekoran itu, penduduk kampung terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan menangkap buaya berkenaan.

Seorang penduduk kampung Richard Limbang, 52, berkata, penduduk kampung pada awalnya sukar untuk mendekati buaya berkenaan atas faktor keselamatan.

Namun katanya, sebaik pasukan APM tiba, penduduk yang turut membawa peralatan seperti tali terus membantu untuk menjerat haiwan berkenaan.

“Usaha untuk menangkap haiwan berkenaan agak sukar ekoran keadaan badannya yang besar selain amat ganas.

“Bagaimanapun, haiwan berkenaan akhirnya berjaya ditangkap selepas lebih sejam ‘bertarung’ dengan pasukan APM dan penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Richard berkata, haiwan itu kemudiannya dibawa oleh APM dan Jabatan Hidupan Liar yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Sementara itu, Richard berkata, kehadiran buaya yang pertama kali muncul di kampung berkenaan cukup menggusarkan penduduk.

Katanya, penduduk kampung percaya haiwan itu mungkin bukan hanya seekor tetapi mempunyai pasangan atau kumpulannya di kawasan berkenaan.

Dalam kejadian Rabu lalu, haiwan berkenaan dapat dirakam selepas muncul di atas jalan sebelum hilang tanpa jejak.

Usaha memburu haiwan berkenaan kemudiannya dilancarkan namun tidak berjaya selepas gagal dikesan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|