Kota Kinabalu: Semua pejabat kerajaan negeri akan beroperasi dengan kehadiran 80 peratus kakitangan, bermula esok.
Dalam kenyataan malam ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hanya 20 peratus kakitangan dibenarkan bekerja dari rumah.
“Semua kakitangan yang hadir ke pejabat dan pelanggan serta pengunjung di jabatan masing-masing hendaklah sudah lengkap divaksin,” katanya.
Sebelum ini, hanya 30 peratus kakitangan awam negeri dibenarkan hadir ke pejabat, manakala 70 peratus lagi bekerja dari rumah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh pada awal Jun lalu.
SOP operasi jabatan negeri berbeza dengan operasi jabatan persekutuan yang menetapkan 60 peratus kakitangan bekerja di pejabat, manakala 40 peratus dari rumah.
Kerajaan negeri hari ini turut memperincikan prosedur operasi standard (SOP) kebenaran aktiviti sukan dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sabah.
Ia merangkumi lima kategori iaitu sukan dan rekreasi, seni mempertahankan diri, sukan raket, sukan berpasukan dan aktiviti air.
Masidi berkata, semua aktiviti dalam setiap kategori dibenarkan disertai individu yang sudah lengkap vaksin, selain mematuhi SOP lain termasuk berkaitan kapasiti premis sukan, penjarakan fizikal dan pendaftaran kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.
Dalam pada itu, Masidi berkata kerajaan negeri turut membenarkan dua pemain golf berkongsi satu buggy dengan syarat ada pemisah atau dinding plastik di antara kedua-dua pemain.
“Semua pemain hendaklah juga sudah lengkap divaksin dan mempunyai status risiko rendah pada aplikasi MySejahtera. Kebenaran ini berkuatkuasa mulai 21 September 2021,” katanya.
Golf adalah antara aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan semula diadakan selepas beberapa bulan aktiviti itu dilarang dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata catatan harian kes Covid-19 di Sabah terus menunjukkan penurunan dengan hanya 1,255 kes hari ini, berbanding 1,356 kes semalam.
Katanya, kes kematian akibat Covid-19 di Sabah turut mencatat penurunan kepada 19 kes hari ini berbanding 35 kematian, semalam.
-Deasoka