Anak minta bantuan jururawat ajar ibu ucap dua Kalimah Syahadah

Anak minta bantuan jururawat ajar ibu ucap dua Kalimah Syahadah

Sandakan: Seorang wanita warga emas yang rakaman videonya memeluk Islam di sebuah wad hospital seperti tular di media sosial baru-baru ini memang sudah lama menyatakan hasrat untuk memeluk agama itu.

Anak kedua wanita berkenaan, Fringco John Wayne @ Firdaus Abdullah, 45, berkata hasrat itu diluahkan sebelum ini memandangkan sebahagian besar ahli keluarganya termasuk empat daripada lima anaknya sudah lama memeluk Islam.

Bagaimanapun, katanya sebelum ini dia dan adik-beradik yang lain tidak mahu mendesak ibunya kerana mahu hasrat itu lahir secara ikhlas dan tanpa paksaan.

Katanya, ibunya, Laimi Tinggi @ Nur Laila Abdullah, 65, yang dirawat akibat Covid-19 tahap lima, sekali lagi meluahkan hasrat mahu memeluk Islam ketika mereka membuat panggilan video pada 9 September lalu.

Rakaman video jururawat mengajar ibu kepada Fringco John Wayne @ Firdaus Abdullah mengucap dua kalimah syahadah.

Ketika itu, katanya keadaan ibunya kritikal dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan menyebabkan mereka adik-beradik sedih dan bimbang dengan keadaannya.

“Situasi ibu pada masa itu sangat kritikal dengan bantuan oksigen dan berbaring, bercakappun tidak jelas kedengaran. Jadi kami adik-beradik memang sedih dan bertangisan melihat keadaan ibu.

“Namun, dalam keadaan itu, ibu sempat meluahkan mahu memeluk Islam kalau baik dan keluar dari wad,” katanya mengulas cerita sebenar di sebalik rakaman video yang tular itu bagi mengelak persepsi negatif netizen.

Dalam rakaman video selama kira-kira dua minit itu, seorang wanita yang memakai alat bantuan pernafasan dan sedang berbaring di katil hospital kelihatan diajar mengucap dua Kalimah Syahadah di hadapan tiga jururawat.

Firdaus berkata, selepas mendengar luahan ibunya mahu memeluk Islam dan bimbang dengan keadaannya yang kritikal, dia meminta bantuan petugas di wad untuk mengajar ibunya mengucap dua Kalimah Syahadah dengan dua lagi jururawat sebagai saksi.

Katanya, beliau turut meminta petugas di wad hospital berkenaan merakam peristiwa itu.

Sebagai anak dan juga seorang mualaf, Firdaus berkata dia sangat bersyukur apabila ibunya mengikut jejak mereka memeluk Islam.

Lebih menggembirakan, katanya keadaan kesihatannya ibunya semakin baik selepas itu dan kini tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Selepas itu, hari demi hari kami dimaklumkan keadaan kesihatan ibu semakin baik, nampak kesungguhannya untuk pulih dan makin bertenaga.

“Ibu juga sudah ada pergerakan sikit, boleh duduk dan beberapa hari lalu saya difahamkan oksigennya pun sudah dibuka,” katanya.

Beliau berkata, pada mulanya ibunya dimasukkan ke hospital untuk rawatan penyakit lain pada 4 September lalu sebelum disahkan dijangkiti Covid-19 dan keadaan kesihatannya merosot hari demi hari sehinggalah pada hari ibunya memeluk Islam pada 9 September lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|