Tawau: Tiga individu dikesan melarikan diri dari Pusat Kuarantin Pesakit Covid-19 (PKRC) Dewan Arena Tawau, kelmarin.
Dalam kejadian kira kira jam 12.30 tengah malam tadi, ketiga-tiga tahanan berusia antara 23 hingga 34 tahun itu dikatakan bertindak mengopek penghadang besi tingkap tandas di PKRC tersebut sebelum bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, dua dari antaranya adalah banduan yang telah dijatuhi hukuman untuk menjalani hukuman penjara manakala seorang lagi sedang dalam tahanan reman untuk menunggu perbicaraan mahkamah.
Kesemua mereka juga adalah pesakit Covid-19 yang sedang dikuarantin dan diasingkan dari tahanan lain.
” Ada yang telah dijatuhi hukuman jadi kategori mereka ini adalah banduan, ada juga kategori reman sementara dipenjara di bawah seksyen 259 Kanun Peraturan Jenayah dan juga tahanan tahanan di bawah seksyen 117 Kanun Peraturan Jenayah juga sedang disiasat oleh PDRM, “katanya.
Susulan insiden itu, polis kemudiannya melancarkan Op Tutup Dan Op Kesan untuk mengesan dan menangkap semula banduan dan tahanan yang telah melarikan diri.
” Di antara Op Tutup yang kita adakan adalah seperti yang mana kita buat sekarang iaitu mengadakan sekatan jalan raya termasuk juga sekatan jalan raya yang sedia ada di Jambatan Putih di Check Point dan begitu juga dikawasan Esscom termasuk juga CIQ “katanya.
Jelas beliau, operasi itu turut melibatkan laluan jalan darat dan di perairan Tawau.
Bagaimana pun polis percaya ketiga-tiga tahanan tersebut masih berada di sekitar daerah Tawau dan operasi untuk mengesan mereka sedang giat dilakukan.
“Para penduduk Tawau dinasihatkan untuk terus melapor ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tawau sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini,” katanya.
-Deasoka