Covid-19 Sabah: Kes turun tapi masih paras tinggi

Covid-19 Sabah: Kes turun tapi masih paras tinggi

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah sekali lagi menunjukkan penurunan dengan 2,136 kes direkodkan hari ini, berbanding 2,279 kes semalam.

Bagaimanapun, jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penurunan 143 kes itu tidak membawa banyak perubahan memandangkan masih pada tahap yang tinggi.

“Kes terus menurun hari ini bagi hari kedua walaupun jumlah penurunan tidaklah terlalu signifikan, iaitu daripada 2,279 semalam kepada 2,136 hari ini.

“Kota Kinabalu turun 98 kes kepada 357 kes. Kecuali Tawau, kawasan bandar lain seperti Sandakan, Penampang dan Tuaran juga turun. Tuaran turun 100 kes hari ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Dua kluster baharu turut dilaporkan di Sabah hari ini membabitkan tempat kerja iaitu Kluster Koyah di Kinabatangan yang setakat ini mencatat 25 kes, diikuti Kluster Pagar Sebrang berkaitan jangkitan dalam pusat tahanan di Keningau yang setakat ini mencatat 29 kes.

Masidi berkata, daripada 2,136 kes hari ini, sebanyak 962 kes atau 45 peratus adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari 2-3 selepas tarikh keluar keputusan, diikuti 102 kes (4.8 peratus) lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 144 kes (6.7 peratus) lewat didaftar melebihi lima hari.

Katanya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,280 kes atau hampir 60 peratus daripada 2,136 kes hari ini, diikuti 569 kes atau 26.6 peratus melalui saringan bergejala dan 68 kes dikesan melalui saringan kuster.

“Di Kota Kinabalu, 37 peratus daripada kes hari ini berpunca daripada saringan bergejala, diikuti Sandakan (27.7 peratus), Tawau (33.7 peratus) dan Penampang (32.6 peratus).

“Kategori pesakit tiga, empat dan lima kekal dalam paras yang dianggap tinggi. Hari ini kategori satu seramai 688 orang (32.2 peratus), kategori dua seramai 1,261 (59 peratus), kategori tiga seramai 15 orang, kategori empat seramai 10 orang dan kategori lima seramai 13 orang.

“Daripada 2,136 pesakit hari ini, 1,847 (86.5 peratus) adalah warga negara Malaysia dan 289 pesakit (13.5 peratus) adalah warga asing, manakala mengikut jantina, lelaki seramai 51.6 peratus dan perempuan 48.4 peratus,” katanya.

Sementara itu, setakat 4 September, katanya seramai 43.3 peratus penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi vaksin lengkap, manakala 61.8 peratus memperolehi satu dos vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|