Pesawat TUDM terbang rendah mulai lusa

Pesawat TUDM terbang rendah mulai lusa

Kota Kinabalu: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Eksesais Ababil 2021 di Pangkalan Udara Labuan dan Kota Belud bermula 7 hingga 17 September membabitkan ruang udara borneo serta perairan sekitarnya.

Eksesais yang diadakan selama dua minggu itu bertujuan untuk menilai kecekapan juruterbang-juruterbang TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) serta pasukan sokongan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab bagi melindungi kedaulatan negara.

Mengikut kenyataan dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata, eksesais itu bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM.

Katanya, ia bagi menjamin keberkesanan di dalam pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.

“Sepanjang eksesais berlangsung, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu yang digazetkan kawasan latihan.

“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh eksesais,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|