Sabah FC bertekad bangkit semula

Sabah FC bertekad bangkit semula

Kota Kinabalu: Sabah FC membulatkan tekad untuk bangkit semula dengan aksi terbaik bagi memenangi perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Likas, malam ini.

Pengendali sementara Sabah FC, Burhan Ajui, berkata walaupun mengakui berdepan tekanan, beliau tetap cuba mempersiapkan pasukan dengan sebaik mungkin demi tekad berkenaan.

Jelasnya, tekanan yang dialaminya adalah cabaran biasa bagi seorang jurulatih, lebih-lebih selepas pasukan mengalami kekalahan dalam beberapa aksi sebelum ini.

“Tekanan itu sememangnya ada, tetapi itulah tugas dan cabaran seorang jurulatih, lebih-lebih lagi pasukan mengalami kekalahan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kami berharap akan dapat bangkit semula dalam perlawanan bertemu Selangor FC di Stadium Likas (di sini), malam ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau dilantik sebagai pengendali sementara selepas Ketua Jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto direhatkan berikutan kemerosotan prestasi pasukan tanpa sebarang kemenangan sejak Julai lalu.

Sabah turut memanggil semula bekas jurulatih, Jelius Ating untuk membantu Sabah FC menerusi pelantikannya sebagai Penolong Pengurus pasukan.

Burhan yang juga bekas pemain Sabah berkata, persiapan pasukannya untuk menghadapi Selangor FC berjalan seperti biasa dan mereka sudah bersiap sedia sepenuhnya melayan kunjungan ‘The Red Giants’.

Katanya, latihan yang dijalankan lebih tertumpu kepada usaha memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang sering berlaku sebelum ini.

“Kita akan cuba atasinya, seterusnya cuba memenangi perlawanan malam ini.

“Tidak banyak perubahan akan dilakukan terhadap kesebelasan utama cuma Levy (Madinda) tidak dapat beraksi malam ini kerana dia kembali ke Gabon untuk beraksi dengan negaranya dalam kelayakan Piala Dunia.

“Selain itu, kita juga masih memantau keadaan Saddil (Ramdani) yang masih mengalami kecederaan, kita akan lihat hari ini jika dia dapat kembali cergas untuk beraksi,” katanya.

Burhan berkata, dengan ketiadaan Madinda dan sekiranya Saddil tidak dapat diturunkan, beliau mungkin akan menurunkan Bobby Gonzales dan Nazirul Naim Che Hashim untuk menggantikan dua pemain berkenaan.

“Apapun saya berharap siapapun yang diturunkan nanti akan beraksi bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemenangan buat pasukan,” katanya.

Skuad Sang Badak itu gagal mencatat kemenangan dalam lapan aksi berturut-turut sebelum ini dan kini berada di kedudukan kesembilan selepas mencatat empat kemenangan, tujuh seri dan sembilan kekalahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|