Tiga ditahan dipercayai bawa PATI guna kenderaan kerajaan

Tiga ditahan dipercayai bawa PATI guna kenderaan kerajaan

Kota Kinabalu: Tiga penjawat awam ditahan selepas dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan kerajaan bagi melepasi sekatan jalan di Jalan Kunak-Tawau, 14 Julai lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, ketiga-tiga lelaki berusia 39 hingga 49 tahun itu dikatakan menggunakan dua pacuan empat roda dengan lambang sebuah agensi kerajaan dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, tindakan mereka melepasi sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan polis di sepanjang laluan berkenaan selain memandu laju menimbulkan curiga.

Menurut sumber, selepas melepasi tiga SJR, kumpulan berkenaan kemudiannya berjaya ditahan di kawasan Balung, Jalan Apas, Tawau.

Katanya, ketiga-tiga suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sri Indah untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati, ketiga-tiga suspek mengaku membawa 15 penumpang dari Lahad Datu menuju ke Tawau.

“Bagaimanapun, ketika ditahan, hanya tiga individu dan tiada penumpang lain yang berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.

Malah ada yang meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan keras bagi mengelakkan insiden seperti ini berulang kembali di masa akan datang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tiga individu terbabit.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|