PPM tahan 4 lelaki, rampas syabu bernilai RM57,180

PPM tahan 4 lelaki, rampas syabu bernilai RM57,180

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat menahan empat lelaki dan merampas dadah syabu bernilai RM57,180 dalam dua serbuan berasingan, di daerah, semalam.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil risikan dan pemantauan mengesan sebuah kenderaan yang dinaiki tiga lelaki dewasa di kawasan Jalan Perapat Limau-Limauan dan menahan kenderaan berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan semua suspek dan kenderaan yang dinaiki mereka menemui sejumlah dadah yang disyaki dadah syabu.

“Siasatan awal dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kudat.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut ke atas rumah itu didapati seorang lelaki dewasa dan sejumlah dadah ditemukan dalam miliknya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM57,180 dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|