94 guru Pendidikan Islam sertai Bengkel Integrasi Digital secara maya

94 guru Pendidikan Islam sertai Bengkel Integrasi Digital secara maya

Labuan: Seramai 94 guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah menengah dan rendah di Labuan menyertai Bengkel Integrasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Pendidikan Islam secara dalam talian pada Sabtu lalu.

Bengkel sehari itu dianjurkan Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

Bengkel berkenaan adalah satu usaha bagi meningkatkan profesionalisme guru Pendidikan Islam ke arah melahirkan warga pendidik yang bermaklumat mengenai kaedah pengajaran terkini melalui perkongsian kepakaran dalam dunia digital.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pendidikan Islam SPM yang juga Pengetua SMK Rancha-Rancha, Labuan, Ustaz Wan Azman Wan Awang, berkata integrasi digital dalam PdP memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan terkini.

“Ini kerana penggunaan teknologi dalam pendidikan akan memberi kesan terhadap perubahan sistem dan kualiti pendidikan yang dilaksanakan oleh guru. Diharapkan juga agar bengkel ini dapat meningkatkan kecemerlangan PdP guru pendidikan Islam di Labuan,” katanya.

Yang turut hadir dalam program secara maya itu ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Labuan, Ustazah Kamariah Salim.

Bengkel berkenaan dikendalikan Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor, Ustaz Yusri Yusoff, sebagai penceramah jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Beliau antara lain berkongsi mengenai keperluan digital, aplikasi digital dalam PdP, peranan teknologi dalam PdP serta kepentingan teknologi pendidikan dalam PdP.

Menurut Yusri, integrasi digital menjadi kaedah terbaik untuk meneruskan pendidikan apabila pandemik COVID-19 melanda bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terganggu.

“Teknologi menjadikan proses PdP menjadi lebih menarik dan berkesan di dalam kelas maya. Melalui interaksi digital proses PdP dapat dijalankan dengan lebih mudah, ringkas dan padat kerana murid akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan menarik serta mudah untuk difahami.

“Guru juga akan lebih kreatif dan inovatif dalam PdP mereka, malah keberkesanan hasil dan objektif PdP dapat berlaku dengan mudah dan terancang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Kamariah Salim, berkata, di sebalik pelbagai cabaran disebabkan pandemik COVID-19, ia tetap mengandungi hikmah yang amat luar biasa.

“Warga pendidik tidak mempunyai pilihan selain menggunakan teknologi digital bagi kelangsungan proses PdP. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi PdP dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan masa akan datang,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di Labuan serta komitmen guru yang hadir walaupun masing-masing berdepan kekangan masa rutin guru di sekolah yang padat.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|