PICK wajar dikaji semula: Adun Kuamut

PICK wajar dikaji semula: Adun Kuamut

Tongod:  Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) wajar dikaji semula selain strategi yang ada perlu ditambah baik bagi mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah mendakwa, program imuniti sedia ada terlalu birokratik sehingga wujud pertindihan Prosedur Operasi Standard (SOP) antara kerajaan negeri dan Pusat.

“Kita melihat peranan yang dimainkan antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan juga tidak selaras dan ia perlu dirombak.

“Kecelaruan fungsi itu turut menyumbang kepada wujudnya peningkatan kes Covid-19 yang kini semakin parah,” katanya selepas melawat program imuniti kelompok di Kampung Tampasak, di sini, hari ini.

Masiung berkata, mereka yang mendaftar sejak Mac lalu masih ramai belum mendapat tarikh janji temu untuk divaksin kerana bekalan vaksin sering tidak mencukupi.

“Program imunasasi yang dilaksanakan sekarang ini agak lembab memandangkan statistik terkini penduduk yang telah menerima vaksin cuma lebih tujuh juta individu iaitu kira-kira sembilan peratus daripada sasaran asal.

“Daripada jumlah itu, hanya 1.9 juta orang telah lengkap dua dos vaksin, sementara lebih lima juta individu menerima dos pertama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, penstrukturan semula PICK perlu dilakukan dengan melantik anggota profesional yang pakar dalam bidang kesihatan di setiap negeri.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membenarkan vaksin dijual di pasaran menerusi vendor yang dilantik di setiap negeri sebagai usaha mempercepatkan proses vaksinasi.

“Agensi kerajaan dan swasta termasuk pemain industri yang mempunyai bilangan pekerja ramai perlu diberi kelonggaran membeli vaksin untuk pekerja mereka.

“Orang ramai dan majikan juga boleh bebas memilih jenis vaksin yang mereka mahu jika ia wujud di pasaran,” katanya.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|