Segerakan bekalan vaksin ke Sabah: Bung

Segerakan bekalan vaksin ke Sabah: Bung

Kota Kinabalu: Kerajaan pusat khususnya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) diminta supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan data JKJAV, penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri ini amat rendah berbanding negeri-negeri lain.

Jelasnya, perkara ini amat membimbangkan dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Sabah sejak beberapa minggu lalu.

“Selaku wakil rakyat yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat Sabah, saya meminta kerajaan pusat supaya menyegerakan penghantaran vaksin ke Sabah bagi memastikan kita (kerajaan negeri) dapat memberikan suntikan imunisasi kepada lebih banyak rakyat di negeri ini. Soal berkaitan kesihatan dan kebajikan rakyat Sabah perlu diutamakan”.

“Perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berdepan dengan ancaman virus Covid-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular. Justeru kita perlu segera membentuk imuniti berkelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan, ” katanya.

Bung Moktar berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta Program Outreach Vaksinasi Covid-19 sudah tentu sukar untuk mencapai sasaran vaksinasi sekiranya bekalan vaksin tidak mencukupi.

Justeru beliau mahu kerajaan pusat serta pihak terlibat terutama JKJAV agar bertindak segera dengan menghantar bekalan vaksin ke Sabah bagi mengurangkan jurang di antara negeri-negeri lain dalam soal pemberian vaksin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bilik mesyuarat di Bangunan Kementerian Kerja Raya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya turut menyarankan kepada pihak terlibat supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin memandangkan kaedah melalui MySejahtera tidak cukup berkesan.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|