Siasatan kes penipuan pembelian atas talian sedang dijalankan

Siasatan kes penipuan pembelian atas talian sedang dijalankan

Kota Kinabalu: Polis masih menjalankan siasatan berhubung kes penipuan pembelian atas talian menggunakan kad kredit yang dilaporkan, sejak 1 Disember tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sabah, Superintendan G Moses Govindarajoo berkata, laporan yang diterima daripada seorang wanita berusia 33 tahun sedang giat dijalankan.

Katanya, mangsa pada awalnya membuat laporan polis hanya untuk semakan lanjut dengan pihak bank dan salah satu platform E-Dagang.

“Bagaimanapun, JSJK Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Difahamkan, wanita terbabit membuat laporan polis sejak Disember lalu, selepas mengalami kerugian hampir RM15,000 akibat penipuan atas talian.

Bagaimanapun, sehingga kini, wanita terbabit mendakwa masih tertunggu-tunggu sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.

Mangsa akhirnya meminta bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe untuk mendedahkan perkara berkenaan dan mendesak Bank Negara (BNM) serta agensi penguat kuasa lain mengambil tindakan segera.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|