Dua lagi kluster baharu di Sabah

Dua lagi kluster baharu di Sabah

Kota Kinabalu: Sabah hari ini mengesan dua lagi kluster baharu, demikian kata Jurucakap Covid-19 negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, salah satu ialah Kluster Sawit Lung, Beluran yang melibatkan jangkitan dalam ladang yang disyaki berpunca daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah.

“Kes indeks adalah lelaki, bukan warganegara, 35 tahun yang bergejala sejak 12 Julai, sebelum disahkan positif RTK-Ag dengan grading 80 peratus dalam saringan masuk ke ladang pada 14 Julai.

“Pada hari yang sama, tiga lagi kes positif dengan kaitan epidemiologi di tempat kerja.

“Daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif melibatkan rakan sekerja dan ahli keluarga sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes,” katanya sambil menambah aktiviti siasatan dan kawalan masih lagi dijalankan.

Satu lagi kluster yang dikesan adalah melibatkan sebuah kilang plastik di kawasan perindustrian Kota Kinabalu, yang dikenali sebagai Kluster Industri KKIP Selatan, melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

“Kes indeks adalah operator kilang, lelaki, 20 tahun, disahkan positif COVID-19 melalui ujian RTK-Ag dengan grading 97% di Family Care Clinic Sepanggar pada 12 Julai, selepas bergejala pada 9 Julai.

“Daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di daerah Kota Kinabalu, lapan kes telah dikesan positif termasuk enam kes baharu pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media laporan harian COVID-19, pada Rabu.

Tambah beliau, sebanyak 32 sampel didapati negatif sementara lima kes masih menunggu keputusan ujian saringan.

Selain itu, empat lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga telah didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata sebanyak 474 kes telah dikesan hari ini, manakala satu kes kematian telah direkodkan daerah Beaufort.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|