Tiga disyaki pengedar dadah ditahan

Tiga disyaki pengedar dadah ditahan

Tuaran: Enam individu termasuk tiga pengedar dadah berjaya ditahan dalam operasi pencegahan jenayah narkotik yang dijalankan di sekitar daerah ini, sejak 18 Oktober lalu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran itu, turut berjaya merampas dadah jenis syabu dan ganja.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, operasi yang dijalankan selama lapan hari itu dijalankan di beberapa lokasi ‘hotspot’ yang dikenalpasti.

Katanya, semua individu yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun dan tiga daripadanya adalah pengedar dadah.

“Hasil operasi, kita berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 16.17 gram bersama ganja seberat 1.42 gram.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM1,667 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, semua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bersama Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, semua kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, pihaknya memandang serius kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

“Operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada perlanggaran undang-undang berkaitan dadah di daerah Tuaran.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan dadah sebagai punca pendapatan dan penggunaannya juga amat dilarang,

“Polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang melanggar undang-undang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|