Wanita selamat, kereta terbakar

Wanita selamat, kereta terbakar

Tawau: Seorang wanita berjaya menyelamatkan diri dari terperangkap dalam kereta yang tiba-tiba terbakar di Taman Bukit Bintang, Jalan Sin Onn, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dikatakan sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Axia yang dipandunya tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum api terus marak membakar kenderaan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati berjaya keluar menyelamatkan diri manakala kenderaan berkenaan pula sedang dimamah api kebakaran.

“Operasi segera dijalankan namun jentera mengalami kerosakan dan operasi pemadaman terus menggunakan pam angkut dari pancutan air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman terkawal pada jam 9.37 pagi dan pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 10.15 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|