Sabah komited jayakan inisiatif pemulihan ekonomi di bawah BIMP-EAGA

Sabah komited jayakan inisiatif pemulihan ekonomi di bawah BIMP-EAGA

Kota Kinabalu: Sabah mengalu-alukan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Ke-14 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) agar negara dalam kawasan berkenaan menjalinkan kerjasama lebih erat bagi melonjakkan ekonomi selepas pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah akan melakukan bahagiannya untuk memastikan kejayaan rancangan pemulihan, antaranya pembangunan Koridor Ekonomi BIMP-EAGA.

Katanya, antara perkara yang dipersetujui dalam kenyataan bersama itu ialah inisiatif Kuarantin Satu Borneo untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan.

Sabah sudah mengenal pasti tiga titik sempadan iaitu Bantul, Sebatik dan Serudung di bawah fasa kedua inisiatif itu manakala fasa perintis adalah di sempadan Entikong, Indonesia – Tebedu, Sarawak dan Sungai Tujuh, Brunei -Sungai Tujuh, Miri di Sarawak.

Hajiji adalah pemerhati pada Sidang Kemuncak ke-14 BIMP-EAGA yang diadakan secara maya hari ini dengan dipengerusikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berucap pada sidang kemuncak itu.

Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dan Presiden Bank Pembangunan Asia, Masatsugu Asakawa turut berucap pada sidang kemuncak itu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri bersetuju dan menyokong usaha menjadikan BIMP-EAGA sebagai platform melonjakkan semula ekonomi di rantau ini.

“Kita bersetuju dan menyokong pandangan Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri bahawa BIMP-Eaga akan menjadi platform yang berguna dalam kebangkitan ekonomi.

“Ia juga adalah petanda baik dengan objektif yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025),” katanya.

Bersama Ketua Menteri ialah Duta Khas Sabah ke BIMP-EAGA, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|