PPS sedia pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri

PPS sedia pinjaman perumahan kepada penjawat awam negeri

Penampang: Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) mendapat kebenaran untuk menyediakan kemudahan pinjaman perumahan kepada penjawat awam di negeri ini.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kemudahan berkenaan membolehkan penjawat awam negeri memiliki rumah sendiri menggunakan pinjaman disediakan PPS.

“InsyaAllah dengan kebenaran ini, kerajaan memberi kemudahan kepada penjawat awam negeri untuk memiliki rumah sendiri sama ada membeli atau membina rumah.

“Justeru, saya berharap PPS akan terus maju sebagai satu agensi kerajaan yang dibanggakan.

“Daripada taklimat yang diberikan oleh PPS, jelas perbadanan ini adalah agensi yang mantap dan perlu dicontohi oleh mana-mana agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Dividen, Faedah dan Zakat Perniagaan PPS kepada kerajaan negeri di Wisma Perbadanan Pinjaman Sabah, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri turut meminta semua GLC di negeri ini supaya berusaha menjana keuntungan dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta rakyat.

“Saya mahu kepada GLC lain yang mahu terus mencapai perkhidmatan yang terbaik agar dapat merombak atau menyusun semula pentadbiran mereka untuk menjadi GLC yang boleh dibanggakan seperti mana harapan kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu kerajaan negeri menerima dividen sebanyak RM17.5 juta daripada PPS selain RM576,421.44 sebagai pembayaran faedah bagi tahun 2020.

PPS turut membayar zakat perniagaan berjumlah M263,690.55 bagi tempoh yang sama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|