Penunggang motosikal maut rempuh kereta MPV

Penunggang motosikal maut rempuh kereta MPV

Penampang: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah kereta serba guna (MPV) dalam kejadian di Jalan Kota Kinabalu-Papar berhampiran Gedung Perabot Rustica, Putatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah di kaki dan muka disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mengikut siasatan awal, mangsa bergerak dari arah Papar ke pusat bandar raya Kota Kinabalu.

Bagaimanapun katanya, pemandu kenderaan berkenaan membuat pusingan U dan dipercayai tidak disedari mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa terus merempuh kenderaan berkenaan sehingga mengakibatkannya terjatuh di atas jalan.

“Penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan serius manakala pemandu kenderaan berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat mangsa kini masih ditempatkan di Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

Katanya, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|