Dua remaja perempuan hampir lemas ketika mandi pantai Shahbandar

Dua remaja perempuan hampir lemas ketika mandi pantai Shahbandar

Tuaran: Dua remaja perempuan terselamat daripada dihanyutkan ombak ketika mandi manda di pantai Shahbandar, di sini, petang tadi.

Kedua-dua mangsa Fatrisa Moksin, 14 dan rakannya Alisa Mukacal, 16, bukan warganegara dipercayai melakukan aktiviti mandi manda sebelum dihanyutkan arus ombak.

Bagaimanapun beberapa pengunjung yang menyedari kejadian itu segera membantu menyelamatkan kedua-dua mangsa terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadiaj, kedua-dua telah diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pasukan Unit EMRS kemudian membuat rawatan awal kepada mangsa sehingga stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat jam 4.50 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|