Covid-19 Sabah: Kes positif di Ranau naik mendadak

Covid-19 Sabah: Kes positif di Ranau naik mendadak

Kota Kinabalu: Daerah Ranau menjadi penyumbang utama kenaikan kes baharu Covid-19 di Sabah apabila mencatat kes tiga angka menjadikannya daerah tunggal merekodkan lebih 100 kes hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata dengan 104 kes baharu hari ini, jumlah kes di daerah Ranau itu mewakili kira-kira satu perenam daripada 599 kes harian keseluruhan di Sabah.

“Jumlah kes harian di Sabah meneruskan trend meningkat walaupun pada skala yang kecil. Hari ini kes positif meningkat sebanyak 14 menjadikan kes jumlah jangkitan baharu hari ini sebanyak 599 kes.

“Ranau menjadi penyumbang utama peningkatan kes hari ini dan satu-satunya daerah yang mencatatkan kes baharu tiga angka, iaitu 104 kes.

“Selain itu, angka itu juga mewakili sekitar satu perenam daripada jumlah kes harian di seluruh negeri Sabah hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peningkatan mendadak sebanyak 73 kes Covid-19 berbanding hanya 31 kes di Ranau semalam meletakkan daerah itu di hadapan dari segi bilangan kes hari ini, diikuti Beaufort dengan 57 kes, Kota Kinabalu (50 kes), Kota Belud (48 kes) dan Kota Marudu (33 kes).

Bagaimanapun, Masidi berkata 15 daerah lain mencatatkan penurunan kes dengan empat daripadanya mencatat penurunan yang signifikan, manakala 10 daerah mencatat peningkatan kes dengan dua daripadanya menunjukkan pertambahan yang ketara.

“Kes jangkitan yang berlaku secara sporadik atau lebih dikenali kes saringan bergejala kekal tinggi. Hari ini 218 daripada 599 kes atau 36.4 peratus adalah jangkitan yang berpunca daripada Saringan Bergejala. Di Ranau, 32 daripada 104 kes di daerah itu adalah dalam kategori ini,” katanya.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata jumlah kes yang memerlukan rawatan di hospital kekal rendah walaupun jumlah kes meningkat.

Katanya, sebanyak 94.83 peratus daripada keseluruhan kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, empat kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5.

“Walaupun sekatan ke atas aktiviti sosial telah banyak dilonggarkan tetapi semua penduduk adalah diperingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

“Elakkan daripada menganjur atau menghadiri majlis sambutan dan keramaian yang pasti mengundang risiko jangkitan yang tinggi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|