Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri akan diwujudkan di Sabah

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri akan diwujudkan di Sabah

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri bagi mengawasi perkhidmatan bekalan air dan pembentungan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata penubuhan suruhanjaya itu adalah antara perkara yang digariskan dalam halatuju baharu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu adalah penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu bekalan air yang berlaku sejak sekian lama di negeri ini.

“Kita yakin penubuhan suruhanjaya air ini akan mengurangkan birokarasi dan meningkatkan kecekapan negeri mengurus masalah air yang sekian lama berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Bengkel Halatuju Jabatan Air negeri Sabah (JANS), di sini, semalam.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Negeri, berkata bagi merealisasikan penubuhan suruhanjaya itu, pindaan terhadap enakmen sedia ada mengenai perkhidmatan bekalan air perlu dilakukan.

Katanya, perkara itu selaras dengan saranan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan penggubalan enakmen baharu di peringkat negeri.

“Enakmen itu berfungsi seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhimdatan Air Negara yang digunakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sehubungan itu, pindaan terhadap enakmen air sedia ada di Sabah mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri.

“Penubuhan suruhanjaya itu bakal mengubah imej perkhidmatan bekalan air di negeri ini,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Bung Moktar berkata usaha menangani isu bekalan air di Sabah memerlukan kira-kira RM13 bilion termasuk untuk mengganti rangkaian paip lama dan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) yang bermasalah.

“JANS adalah satu-satunya badan utiliti air di Malaysia yang masih berstatus jabatan dan menguruskan bekalan airnya sendiri tanpa bantuan secara langsung daripada kerajaan persekutuan.

“Jadi, kita berharap, melalui suruhanjaya air yang bakal diwujudkan oleh kerajaan negeri nanti bantuan secara langsung dapat diperolehi daripada kerajaan Pusat untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi bagi meningkatkan sistem bekalan air di Sabah,” katanya.

Bung Moktar menambah melalui Bengkel Hala Tuju JANS yang diadakan selama tiga hari itu, ia akan dapat mencari formula terbaik bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk perhatian kerajaan negeri.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah JANS, Ir Edward Linkapo.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|