Semporna: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan dua nelayan warga asing selepas dipercayai menangkap hasil laut menggunakan kaedah bom ikan dalam operasi di perairan Pulau Kalapuan, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, operasi rondaan Op Benteng Covid oleh anggota Batalion 14 PGA itu dijalankan di sekitar perairan berkenaan selepas maklumat diterima daripada orang awam.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil rondaan, pihaknya terserempak dengan sebuah bot pam yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan kemudiannya mendapati bot berkenaan membawa tong berisi ikan dalam keadaan perut ikan pecah dan isi ikan yang lembik.
“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi tidak menemui sebarang pukat atau peralatan menangkap ikan di dalam bot berkenaan.
“Semua suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 17 dan 27 tahun dan semua peralatan yang dirampas dianggarkan bernilai RM8,650 termasuk bot serta hasil laut.
“Kes diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.
-Deasoka