Pandang memandang cetus pergaduhan

Pandang memandang cetus pergaduhan

Kota Kinabalu: Saling pandang memandang dipercayai menjadi punca pergaduhan lapan individu yang membelasah dua penghantar ‘food panda’ dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Cyber City, di sini, 20 Oktober lalu.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, dua lelaki berusia 19 tahun cedera selepas dibelasah lapan lelaki yang dikatakan dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata,
siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dibelasah termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

Katanya, pergaduhan berkenaan dipercayai berpunca daripada keadaan dua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang memandang ketika berada di dalam pusat hiburan berkenaan.

Video pergaduhan yang berlaku di luar premis sempat dirakam oleh orang awam.

“Bagaimanapun, pergaduhan hanya berlaku di luar premis hiburan berkenaan apabila lapan suspek bertindak menarik salah seorang mangsa dan terus membelasahnya.

“Kejadian disedari rakan mangsa yang kemudiannya cuba membantu namun dia turut dibelasah kumpulan suspek,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pergaduhan itu berakhir apabila kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Salah seorang suspek kemudiannya didakwa menjerit kepada mangsa untuk mengarahkan mereka mencari penama Faizal di Sinsuran 4.

“Semua suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Saga warna kelabu namun mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, kedua-dua mangsa kemudianya mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) namun hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Tiada kecederaan serius dialami oleh kedua-dua mangsa dan siasatan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu ditahan pada 27 Oktober lalu di Api-Api Centre dan usaha mengesan tujuh lagi suspek giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, tindakan pemeriksaan di premis pusat hiburan berkenaan dijalankan pada keesokkan harinya.

Katanya, sebanyak 10 kompaun dikeluarkan kepada pelanggan dan juga pemilik premis selepas didapati melakukan kesalahan.

“Pemantauan dari semasa ke semasa oleh pihak IPD Kota Kinabalu akan dijalankan bagi memastikan tiada kejadian sama berulang selain penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu sehingga menimbulkan pelbagai komen negatif.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|