Tuntutan palsu, timbalan pengarah didenda RM8,000

Tuntutan palsu, timbalan pengarah didenda RM8,000

Kota Kinabalu: Timbalan Pengarah sebuah agensi kerajaan dijatuhi hukuman denda RM8,000 selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan di Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Tertuduh, Christopher Anak Billy, 44, mengaku membuat tuntutan elaun perjalanan palsu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan alternatif pertama, Christopher mengaku menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel dengan jumlah RM240 untuk membuat tuntutan elaun perjalanan dalam negeri.

Bagi pertuduhan alternatif kedua, tertuduh sekali lagi menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu dua resit hotel masing-masing berjumlah RM270 dan RM264.

Manakala pertuduhan alternatif ketiga, menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel berjumlah RM267 untuk membuat tuntutan perjalanan dalam negeri.

Pertuduhan alternatif keempat pula, tertuduh menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu resit hotel dengan jumlah RM345.

Semua kesalahan itu dilakukan pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah di Kota Kinabalu antara April hingga November 2017.

Tertuduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM8,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara selama dua bulan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam dari Adnan Puteh & Saleh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|